Pengikut

Isnin, 16 Disember 2013

adakah anda dalam golongan penyakit IRI HATI..

Setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri.. so apa pendapat korang mengenai penyakit IRI HATI..  bagi aku setiap orang akan  ada perasaan ini, ia terlalu normal untuk manusia biasa.

Mempunyai kelebihan merupakan suatu kurniaan yang harus disyukuri. Namun, itu bukanlah jaminan untuk orang di sekeliling kita menyukai akan kelebihan yang ada pada diri kita itu. Kadang kala kelebihan yang dimiliki oleh kita boleh menjadi sasaran iri hati di sekeliling hidup kita tanpa kita sedari.



Perasaan iri hati atau dengki adalah salah satu tingkah laku sosial manusia yang boleh wujud dalam pelbagai situasi tanpa kita sedari. Secara psikologinya, perasaan ini merupakan masalah intrapersonal  yang timbul dalam minda kita sendiri hingga menyebabkan kita sentiasa berperang dengan diri sendiri.

Dalam aspek tingkah laku manusia, perasaan ini mula timbul akibat daripada perasaan kurang yakin terhadap diri kita sendiri. Mungkin kita merasakan dengan cara mengutuk dan merendah-rendahkan orang lain, kita dapat menutup kelemahan yang ada pada diri kita ini.



Oleh sebab itu, biasanya, individu yang mempunyai sifat iri hati ini akan sentiasa dihantui dengan kejayaan-kejayaan orang lain. Hanya mendengar pujian kecil daripada rakan-rakan terhadap pesaingnya sudah boleh membuatkan harga dirinya jatuh. Ini ditambah pula apabila dia tidak mampu menandingi pesaingnya.

Malahan, perasaan ini juga boleh menjadi pencetus kepada kita untuk melakukan sesuatu  perkara samada kearah kebaikan mahupun keburukan. Ini kerana, kita tekad ingin mencapai apa yang diinginkan setanding dengan pesaing kita. Dalam erti kata lain, perasaan iri hati ini boleh menjadi sumber cabaran kepada diri kita sendiri.

Perasaan seperti ini  seharusnya dihindari kerana ia lebih banyak membawa kesan buruk berbanding kesan baik. Ini kerana perasaan iri hati ini boleh memakan diri sendiri apabila kita mejadi terlalu obses dan banyak membuang masa dan tenaga untuk mencari kesalahan pesaing kita, Secara tidak langsung, ia hanya akan membuatkan diri dan emosi kita berasa tidak tenteram.

Selain itu, ia juga boleh memutuskan hubungan yang terjalin antara kita dengan rakan karib  kita sendiri. Mungkin kerana kita iri hati dengan setiap kejayaan yang dicapai olehnya hinga menyebabkan diri kita berasa tidak setanding untuk berkawan dengannya. Tanpa disedari, tindakan tersebut telah memutuskan hubungan dan menyebabkan timbulnya permusuhan dalaman yang mana hanya akan mengeruhkan lagi keadaan tersebut.

 Bagi menghindari permasalahan ini, kita seharusnya bijak dalam mengawal minda. Jangan biarkan perasaan mengawal diri kita tetapi kita sendiri yang mengawal perasaan tersebut. Mungkin melalui pengetahuan dan pergaulan dengan pesaing, kita dapat mengurangkan perasaan iri hati ini.

Selalunya apabila kita sudah mempunyai perasaan iri hati terhadap seseorang, biasanya kita ingin mencari kesalahan dan kekurangan dalam diri individu tersebut. Oleh itu untuk menghindarinya, lakukan sebaliknya iaitu mencari kebaikannya dan sentiasa berfikiran positif terhadap individu tersebut agar perasaan iri hati itu dapat dilemahkan.

Jika kita melihat segala perasaan iri hati dari sudut yang positif, maka yang negatif akan menjadi berubah kepada  positif. Ini kerana setiap perkara yang berlaku adalah bergantung kepada cara kita berfikir dan mentafsirnya.

Kita juga harus sentiasa bersyukur dengan setiap kelebihan yang ada pada diri kita kerana tiada manusia yang benar-benar sempurna. Tanpa kita sedari, kita juga mempunyai kelebihan yang mungkin tidak ada pada individu lain. Maka apabila kita sentiasa bersyukur dengan yang dicapai, kita mungkin akan merasakan itu adalah satu nikmat yang telah dikurniakan untuk kita.

Dari sudut lain, kita boleh jadikan perasaan iri hati ini sebagai pencetus untuk memperbaiki diri dan mencapai apa yang diingini setanding dengan individu yang menjadi sasaran kita. Secara tidak langsung ia menjadi pembuka jalan untuk kita terus berubah kearah yang lebih baik dengan membandingkan diri kita dengan individu lain.












Tiada ulasan: